Kerana dunia bukan milik kita...

Niat yang ikhlas memastikan langkah sentiasa tepat

Matlamat yang jelas memastikan semangat sentiasa kuat

Kerana mati syaratnya bukanlah tua...

Thursday, July 7, 2011

Ceramah Israk Mikraj

Di sekolah tadi telah diadakan ceramah Israk Mikraj oleh ustaz.. aduh! lupa pula nama ustaz tu! tidak mengapalah, yang penting isi ceramah sempena israk mikraj ini begitu membawa makna yang mendalam kepada semua warga SMA Al-Khairiah. 



Pengertian Israk Mikraj

Israk membawa maksud, perjalanan Nabi Muhammad S.A.W dari Masjidil Haram di Makkah ke Masjid Al-Aqsa di palestin.

Manakala, Mikraj pula membawa erti perjalanan Nabi Muhammad S.A.W dari Masjid Al-Aqsa ke sidratul muntaha di langit ke tujuh tempat singgahsana Allah Taala sebagaimana yang telah digambarkan di dalam kitab suci Al-Quran.

Sesungguhnya, peristiwa Israk Mikraj benar-benar berlaku keatas Nabi Muhammad S.A.W dan tidak boleh dipertikaikan lagi kerana ada diceritakan di dalam kitab mulia Al-Quran. Kita sebagai umat Islam wajib percaya dan yakin bahawa Israk Mikraj ditempuhi dan dialami  oleh Nabi Muhammad S.A.W adalah benar.

Sebab peristiwa Israk Mikraj

Sebab berlakunya peristiwa Israk Mikraj ini adalah kerana musibah  yang menimpa baginda secara bertutut-turut. Iaitu kehilangan 2 insan yang baginda sayangi berikutan kewafatan Siti Khadijah yakni isteri baginda dan disusuli pula dengan kematian Abu Talib, bapa saudara baginda. Seterusnya, Nabi Muhammad berpindah ke Thaif dengan harapan penduduk disitu menerima seruan dan bersedia untuk membantu perjuangannya. Namun, semua harapan itu hancur  kerana penduduk Thaif tidak menerima dakwah Nabi Muhammad S.A.W malah baginda dicaci dan dihina serta pelbagai lagi. 

Lalu Allah Taala menganugerahkan Israk Mikraj yang antara lain bertujuan untuk menghibur dan memantapkan iman Nabi Muhammad S.A.W. Sebab kepada Israk Mikraj ini adalah antara sebab musabab berlakunya peristiwa ini namun semuanya di atas kehendak dan ketetapan dari Allah Taala.



Perjalanan Israk Mikraj

Semasa Israk

- Iaitu perjalanan dari Masjid Al-Haram ke Masjid Al-Aqsa

Telah disebut pada suatu ketika Nabi Muhammad S.A.W. sedang duduk di tepi Kaabah lalu datanglah malaikat Jibril A.S. dengan seekor Buraq untuk membawa Nabi Muhammad S.A.W. dalam peristiwa Israk Mikraj ini. Dari segi bahasa Buraq bererti kilat cahaya. Ia sejenis makhluk menyerupai haiwan. Saiznya besar sedikit dari khimar dan kecil sedikit dari baghal. Buraq dijadikan oleh Allah Taala dari cahaya dan didatangkan dari syurga.. Ia boleh melangkah sejauh mata memandang.

Sepanjang perjalanan Israk itu, Nabi Muhammad ditemani oleh malaikat Jibril. Semasa perjalanan, Allah Taala telah memperlihatkan pelbagai gambaran aneh sebagai balasan dari Allah Taala kepada hamba-hambaNya mengikut apa sahaja perbuatan yang telah dilakukan. Di antara yang kejadian yang diperlihatkan kepada baginda sepanjang Israk dan Mikraj adalah:

 *Kaum yang sedang bertanam dan terus menuai hasil tanaman mereka. apabila dituai, hasil (buah) yang baru keluar semula seolah-olah belum lagi dituai. Hal ini berlaku berulang-ulang. Rasulullah S.A.W. dibertahu oleh Jibrail : Itulah kaum yang berjihad "Fisabilillah" yang digandakan pahala kebajikan sebanyak 700 kali ganda bahkan sehingga gandaan yang lebih banyak.

*Tempat yang berbau harum. Rasulullah S.A.W. diberitahu oleh Jibrail : Itulah bau kubur Masyitah (tukang sisir rambut anak Fir'aun) bersama suaminya dan anak-anaknya. Ceritanya--> Sedang Masyitah menyikat rambut anak Firaun maka sikat yang digunakan itu terjatuh lalu Masyitah menyebut: Dengan nama Allah. Bertanyalah anak Firaun kepada Masitah tentang tuhan selain bapanya. 
Masyitah menjawab: "Tuhanku dan tuhan bapa kamu adalah Allah". 
Anak Firaun memberitahu bapanya akan hal ini lalu Masyitah diugut oleh Firaun supaya kembali ke agama asalnya. Masyitah enggan dan tetap dengan pendiriannya. Lalu Firaun mencampakkan seorang demi seorang anaknya ke dalam air yang mendidih sehingga tiba giliran anak terakhirnya yang sedang disusui olehnya. Masyitah merasa sangat bimbang dan kesian akan anak kecilnya itu lalu Masyitah cuba melengah-lengahkan masa. 
Dengan kuasa Allah Taala maka bayi tersebut dapat berkata-kata lalu menyebut: "Wahai ibuku! Sesungguhnya azab akhirat itu jauh lebih pedih dari azab dunia maka usahlah ibu menjauh-jauhkan diri kerana ibu di pihak yang benar". 
Lalu Masyitah melepaskan bayinya dan Firaun dengan segera mencampakkan bayi itu ke dalam didihan air. 
Masyitah berkata: "Aku mempunyai permintaan iaitu supaya engkau (Firaun) mengumpulkan semua tulang dan menanamnya''. 
Firaun berkata:" Aku akan melakukannya". 
Lantas Firaun pun mencampakkan Masyitah ke dalam air didihan itu.


*Baginda melihat sekumpulan manusia berpakaian compang-camping sambil memakan sampah-sarap serta rumput. Itulah gambaran golongan manusia yang enggan mengeluarkan zakat dan tidak bersedekah kerana sayangkan harta yang dimiliki.
*Baginda melihat sekumpulan manusia yang mempunyai perut yang besar sehingga tidak terdaya lagi untuk bangun dan berdiri. Inilah gambaran manusia yang memakan hasil daripada perbuatan riba.
*Baginda melihat sekumpulan manusia yang asyik memakan daging mentah dan busuk sedangkan di sisi mereka juga terdapat daging yang telah dimasak dan berkeadaan baik. Inilah gambaran manusia yang telah melakukan zina dalam hidup mereka sedangkan mereka sudah pun mempunyai isteri yang telah dikahwini secara sah.
*Baginda turut melihat sekumpulan manusia yang sedang memecahkan kepalanya sendiri. Inilah gambaran manusia yang terlalu sibuk dengan hal-hal keduniaan sehingga lalai menunaikan kewajipan bersolat.

*Baginda melihat wanita menangis sambil meminta pertolongan tetapi tiada yang sanggup membantu. Inilah gambaran balasan wanita yang berhias bukan kerana suaminya.
*Baginda melihat wanita tergantung pada rambutnya serta otaknya menggelegak dalam periuk. Inilah gambaran balasan wanita yang tidak menutup auratnya.
*Baginda melihat wanita berkepala seperti babi dan badannya seperti kaldai dan menerima berbagai-bagai balasan. Inilah gambaran wanita yang suka membuat fitnah dan bermusuh dengan jiran dan membuat dusta.
Setibanya di masjid Al-Aqsa, Rasulullah turun dari Buraq. Kemudian masuk ke dalam masjid dan mengimamkan sembahyang dua rakaat dengan segala anbia` dan mursalin menjadi makmum. Rasulullah S.A.W. terasa dahaga, lalu dibawa Jibrail dua bejana yang berisi arak dan susu. Rasulullah memilih susu lalu diminumnya. Kata Jibrail: Baginda membuat pilhan yang betul. Jika arak itu dipilih, nescaya ramai umat baginda akan menjadi sesat.




Semasa Mikraj
Daripada pelbagai kejadian yang disaksikan sendiri oleh Rasulullah S.A.W. ini ada suatu hal yang amat besar dan penting yang melibatkan proses peribadatan umatnya iaitu perintah Allah Taala agar melakukan ibadat solat fardu.
Sewaktu tiba di Sidrat al-Muntaha maka Rasulullah S.A.W. telah menerima perintah Allah Taala iaitu perintah melakukan ibadat solat untuk seluruh umatnya sebanyak 50 waktu sehari semalam. Sebaik sahaja menerima perintah tersebut tanpa banyak bicara baginda dan Jibril A.S. bersiap sedia untuk turun ke bumi.
Pada masa inilah baginda bertemu dengan Nabi Musa A.S. yang bertanyakan hal itu kepada baginda. Setelah mendengar penjelasan Nabi Muhammad S.A.W. maka Nabi Musa A.S. berkata: Kembalilah kepada Tuhanmu dan mintalah sedikit keringanan kerana bilangan tersebut tidak akan terdaya dilakukan oleh umatmu.
Nabi Muhammad S.A.W. dan Jibril kembali mengadap Allah Taala. Jumlah bilangan waktu solat telah dikurangkan kepada 40 waktu. Apabila berjumpa Nabi Musa A.S. kemudiannya maka Nabi Musa A.S. meminta baginda kembali menemui Tuhan untuk meminta dikurangkan lagi jumlah tersebut. Setelah beberapa kali Nabi Muhammad S.A.W. berulang alik menemui Allah Taala dan pada akhirnya Allah Taala telah mengurangkan bilangan solat fardu tersebut menjadi 5 waktu sahaja.
Apabila kembali semula maka Nabi Musa A.S. masih merasakan umat Nabi Muhammad S.A.W. masih tidak terdaya untuk melakukannya dengan bilangan 5 itu. Hal ini kerana, umat Nabi Musa badannya gagah perkasa tetapi masih tidak mampu untuk menuaikan perintah Allah. Apatah lagi umat Nabi Muhammad yang kecil. Oleh sesab itu Nabi Musa beranggapan umat Nabi Muhammad masih tidak mampu untuk menunaikan solat 5 waktu. Nabi Muhammad S.A.W. menyatakan bahawa beliau tidak akan mengadap Allah Taala lagi untuk memintaNya mengurangkan bilangan solat itu kerana baginda merasa malu untuk berdepan dengan Allah Taala.
Kesimpulan
Kesimpulannya, banyak pengajaran yang boleh diambil dari peristiwa Israk Mikraj ini. Peristiwa Israk Mikraj bukannlah haya cerita untuk didengar dan dibaca semata-mata. Namun, kita mestilah menjadikannya pedoman hidup selama kita di dunia ini. Tiada alasan untuk menolak hakikat peristiwa Israk Mikraj yang dilalui oleh Nabi Muhammad S.A.W. dengan roh dan jasadnya sekali kerana baginda telah diIsrak dan diMikrajkan oleh Allah Taala. Sekalipun peristiwa Israk Mikraj itu adalah perkara luar biasa di sisi akal manusia tetapi bagi Allah Taala Yang Maha Berkuasa maka Dia boleh melakukan apa jua perkara yang dianggap pelik menjadi perkara biasa dan tiada yang mustahil bagiNya. Semoga kita semua mendapat manfaat dari tulisan ringkas ini. InsyaAllah. (=



No comments:

Post a Comment